i.
PENGENALAN
Malaysia merupakan antara
negara yang kaya dengan sumber asli dan mempunyai tanah yang subur. Pertanian
adalah antara sumber pendapatan negara. Pertanian boleh didefinasikan sebagai
salah satu proses pengeluaran makanan dan barangan melalui perladangan,
penternakan dan juga perhutanan. Antara faktor utama perkembangan dan
kebangkitan sesebuah tamadun juga adalah melalui proses perniagaan berasaskan
pertanian. Ia juga mampu membentuk masyarakat yang lebih padat dan berstrata.
Pertanian pada asasnya merangkumi pelbagai bidang serta teknik daripada
meluaskan tanah, bercucuk tanam, membina terusan untuk sistem pengairan tanaman
sehingga membuahkan hasil dan mendatangkan keuntungan. Pada zaman yang serba
moden ini, pertanian telah berkembang menjadi pertanian moden yang bersifat
permakulturan dan organik dan dipanggil juga sebagai pertanian perindustrian.
Perniagaan pula lebih
merujuk kepada sesebuah entiti ataupun organisasi dimana ianya diiktiraf untuk
menyediakan barangan mahupun perkhidmatan kepada pelanggan atau perniagaan
lain. Perniagaan pada dasarnya adalah untuk mencari keuntungan kepada pemilik
perniagaan selain daripada menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat.
Perniagaan berasaskan
pertanian merangkumi proses perniagaan yang hanya melibatkan pertanian. Proses
ini terjadi bila mana, sebagai contoh petani yang mempunyai lebihan keuntungan
mengambil keputusan untuk menjual hasilnya kepada pemborong mahupun secara
terus kepada pembeli. Maka, dengan penjualan hasil tersebut dikenali sebagai
proses jual beli ataupun perniagaan maka wujudlah perniagaan berasaskan
pertanian.
ii.
KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN
Di Malaysia, bidang
pertanian adalah antara bidang yang paling ramai diceburi oleh masyarakat.
Contoh yang paling ketara boleh dilihat adalah seperti di Cameron Highlands
dimana disana terdapatnya pertanian sayuran dan buah – buahan. Selain daripada
itu, dapat dilihat di bahagian utara Malaysia dimana tanaman padi adalah antara
tanaman yang senang dilihat di sekitar Kedah dan Perlis.
Pada zaman serba moden
sekarang, tidak dapat dinafikan pertanian adalah antara salah satu kayu
pengukur kepada tahap pembangunan sesebuah negara. Hal ini kerana pertanian mendatangkan banyak
manfaat dan faedah bukan sahaja kepada negara malah kepada masyarakat dan
individu sendiri. Dapat dilihat negara China mementingkan industri pertanian
sehingga menjadi antara negara pengeluar utama produk pertanian di dunia. Di
malaysia, industri perindustrian menjadi produktif dan bergiat aktif menerusi
Rancangan Malaysia Ke – 5 pada masa pemerintahan Dato Seri Tun Abdullah Ahmad
Badawi. Sejak daripada itu, industri pertanian semakin berkembang pesat di
Malaysia dan tidak dipandang remeh oleh masyarakat.
Pentingnya bidang pertanian
di sesebuah negara adalah sebagai pengeluar bahan makanan. Tanaman padi yang
banyak terdapat di negeri Selangor dan Kedah merupakan salah satu sumber
makanan kepada rakyat kerana ianya membekalkan beras. Perkara yang sama juga
boleh dilihat di Cameron Highlands yang mempunyai tanaman sayuran dan teh.
Melalui pertanian ini, Malaysia dapat mengurangkan pengimportan sumber makanan
seterusnya dapat menjimatkan kos import negara.
Lebihan sumber pertanian
negara pula dapat dieksport ke luar negara contohnya tanaman sawit. Lebihan
tanaman sawit dieksport seterusnya menjadi sumber pendapatan negara. Pendapatan
melalui eksport ini dapat digunakan untuk memajukan lagi negara.
Selain daripada itu, tanaman
seperti sawit, getah dan kelapa dapat dijadikan sebagai bahan mentah. Tanaman
sawit dapat digunakan untuk membuat minyak masak manakala tanaman getah pula
dapat diproses untuk dijadikan produk – produk getah seperti tapak kasut dan
juga tayar kenderaan.
Antara kepentingan lain yang
dapat diketengahkan lagi adalah, dengan menjadi pengeluar bahan makanan dan
pengeluar bahan mentah, ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat
tempatan. Apabila sektor pertanian berkembang, permintaan pekerja akan
meningkat dan ini akan meningkatkan kualiti negara dengan terhasilnya pekerja
mahir.
Selaras dengan itu juga,
perniagaan dalam pertanian mampu mengembangkan industri – industri desa.
Industri desa akan lebih berkembang dan ini akan meningkatkan tahap pendapatan
masyarakat di luar bandar. Jelaslah bahawa perniagaan berasaskan pertanian
mempunyai pelbagai kepentingan bukan sahaja kepada negara malah juga kepada
masyarakat dan rakyat.
iii.
POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG
MENGUNTUNGKAN
Perniagaan dalam pertanian
dapat dilihat selain mempunyai banyak kebaikan kepada negara malah membawa
keuntungan dan pendapatan pada negara. Perniagaan dalam pertanian mempunyai
potensi yang besar untuk mencapai keuntungan, kerana itulah semenjak tahun
1984, tiga Dasar Pertanian Negara telah digubal untuk memajukan sektor
pertanian.
Dasar Pertanian Negara telah
digubal pada pertama kalinya pada tahun 1984. Dasar Pertanian Negara Pertama
ini lebih menekankan untuk membangunkan sektor pertanian yang berorientasikan
eksport. Dasar Pertanian Negara Kedua pula telah digubal pada tahun 1992 pada
zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dimana Dasar ini lebih menekankan kepada
peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan secara sihat di dalam bidang
pertanian. Dasar Pertanian Ketiga pula digubal pada tahuun 1998 dimana Dasar
ini digunakan untuk meningkatkan daya saing sektor pertanian berikutan
liberalisasi perdagangan antarabangsa. Kerajaan telah merancang untuk
menjadikan sektor pertanian sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara
dengan mengembangkan lagi Kementerian Pertanian merangkumi juga bidang industri
asas tani.
Tujuannya adalah supaya
Kementerian Pertanian dapat memainkan peranan daripada proses akar umbi
sehingga produk sampai ke pengguna. Aspek yang dibincangkan adalah proses
daripada peringkat pengeluaran benih, pengeluaran, pengendalian lepas tuai,
penyimpanan, logistik, pengredan, pelabelan, pembungkusan, pengangkutan,
peruncitan, pemborongan, pemasaran, penjenamaan, pemprosesan sehingga proses
menjual kepada pengguna atau dieksport ke pasaran luar. Proses ini termasuk
juga supaya segala proses menepati piawaian – piawaian antarabangsa. Jika
Kementerian Pertanian dan agensi yang terbabit memainkan peranan maka tidak
mustahil bahawa Malaysia mampu
menghasilkan produk yang bermutu tinggi dan mendapat pasaran yang meluas di
peringkat antarabangsa.
Selain daripada itu, antara
potensi yang perlu ditekankan dalam bidang pertanian ini termasuklah
memperkukuhkan organisasi yang menyelaras aktiviti, menyediakan skim skim
pembiayaan yang bersesuaian termasuklah penglibatan Kerajaan Negeri. Penggunaan
teknologi terkini adalah salah satu cara untuk meningkatkan potensi perniagaan
dalam bidang pertanian. Sebagai contoh, pihak MARDI haruslah berusaha
meningkatkan kadar pemindahan teknologi dan inovasi kepada usahawan kecik dan
sederhana supaya dapat meningkatkan
pendapatan dan dapat mengeluarkan hasil yang lebih bermutu.
Usaha juga boleh dilakukan
untuk menarik minat golongan muda dan remaja untuk menceburi bidang perniagaan
dalam pertanian. Pendedahan kepada golongan ini haruslah dipertingkatkan supaya
mereka sedar terdapat potensi yang besar dan peluang pekerjaan dengan skop yang
luas di dalam bidang perniagaan dalam pertanian selain daripada sektor
pembuatan dan perkhidmatan. Pendedahan kepada golongan muda adalah penting
kerana merekalah yang akan meneraju negara pada masa akan datang seterusnya
menjurus kepada perkembangan ekonomi dan perkembangan negara.
Potensi industri pertanian
negara adalah tinggi memandangkan terdapatnya persaingan yang hebat di
peringkat global. Walau bagaimanapun, bidang pertanian ini menyediakan peluang –
peluang yang baru yang boleh diambil kesempatan oleh pihak – pihak swasta dan
pihak yang terlibat. Bidang pertanian boleh dimajukan dan mendatangkan
keuntungan yang tinggi juka diusahakan secara bersungguh – sungguh dengan
memberi perhatian kepada kehendak pengguna. Pihak kerajaan dan agensi berkaitan
dan swasta perlulah mempunyai kerjasama supaya dapat memastikan bahawa segala
potensi dalam bidang pertanian dapat dimaksimumkan supaya ianya bermanfaat dan
menguntungkan kepada rakyat, masyarakat dan negara.
iv.
CABARAN/HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN
Dalam mana – mana bidang yang
diceburi sekalipun, pasti terdapat cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi. Bidang
perniagaan berasaskan pertanian juga tidak terkecuali daripada cabaran dan
halangan. Hanya sesetengah yang gigih berusaha dan cekal menempuh cabaran
sahaja yang akan berjaya dalam bidang pertanian.
Cabaran utama bagi sesiapa
yang menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian adalah modal. Jika difikirkan
secara asasnya, jika ingin menceburi bidang pertanian, perlulah mempunyai
tanah. Kos yang tinggi dalam pembeliaan tanah menjadi salah satu punca
kurangnya penceburan dalam bidang pertanian. Selain itu, benih tanaman yang
sukar diperolehi serta kos yang tinggi untuk membeli benih juga adalah antara
cabaran dan halangan di dalam bidang pertanian.
Faktor yang kedua adalah
faktor semula jadi negara Malaysia. Keadaan
cuaca di Malaysia menyebabkan terdapatnya beberapa tanaman yang tidak boleh
ditanam. Contoh yang paling jelas boleh dilihat adalah buah strawberi yang
ditanam di Cameron Highlands. Buah tersebut hanya boleh ditanam di kawasan
sekitar Cameron Highlands dan tidak boleh ditanam di kawasan lain. Terdapat juga
beberapa buah yang tidak boleh ditanam berikutan kepada keadaan cuaca di
Malaysia yang panas, lembab dan hujan.
Selain daripada itu, faktor
lokasi juga merupakan antara cabaran dan halangan yang harus ditempuhi apabila
menceburi bidang pertanian. Kawasan muka bumi Malaysia yang berbukit merupakan
cabaran besar bagi pertanian. Bagi pertanian yang memerlukan sistem pengairan,
kawasan berbukit adalah kawasan yang tidak strategik dan pastinya akan
merugikan para petani. Selain daripada itu, kawasan paya dan berair juga
merupakan antara kawasan yang tidak sesuai untuk bertani. Lokasi adalah antara
faktor cabaran dan halangan yang perlu dihadapi dalam bidang pertanian.
Cabaran dan halangan lain
yang perlu ditempuhi di dalam bidang perniagaan berasaskan pertanian adalah
serangan serangga dan penyakit terhadap tanaman. Tanaman dan sayuran yang
ditanam bukan sahaja bahan makanan kepada manusia tetapi juga kepada haiwan dan
serangga. Tanaman yang tidak dijaga dan menjadi makanan serangga akan mudah
rosak dan kualitinya akan berkurang. Para petani perlu memastikan bahawa
tanaman bebas daripada serangan serangga perosak dan penyakit dengan meracun
tanaman ataupun melakukan teknik – teknik tradisional bagi menghalang tanaman
daripada serangga perosak. Meracun tanaman memerlukan kos yang tinggi, dan ini
tidak dapat dielakkan bagi memastikan bahawa tanaman sentiasa subur dan tidak
rosak. Serangan serangga perosak dan kos yang perlu dikeluarkan untuk meracun
tanaman adalah antara cabaran yang besar bagi para petani. Tanaman yang rosak
akibat daripada serangga perosak pula akan menjejaskan tahap pendapatan petani.
Faktor terakhir yang ingin
dibincangkan bagi cabaran dan halangan dalam bidang perniagaan berasaskan
pertanian adalah jangka masa keuntungan pertanian. Seperti yang kita semua
sedia maklum, proses tanaman yang merangkumi menanam benih, membaja, meracun,
menuai hasil tanaman sehingga menjual kepada pemborong mahupun pembeli
mengambil masa yang lama. Sesetengah tanaman mengambil masa berbulan dan
bertahun untuk mendatangkan hasil dan dapat dilihat bahawa faktor jangka masa
keuntungan adalah antara faktor terbesar di dalam cabaran dan halangan di dalam
perniagaan berasaskan pertanian. Walaupun menerima bantuan daripada pihak
kerajaan mahupun pihak individu atau swasta, faktor masa adalah faktor yang
tidak dapat dielak dan harus ditempuhi bagi setiap petani. Hanya mereka yang
betul – betul gigih dan cekal sahaja yang mampu untuk berjaya dalam bidang
perniagaan berasaskan pertanian ini.
v.
SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN
BERASASKAN PERTANIAN
Sememangnya usaha yang
dilakukan oleh peniaga yang menjalankan perniagaan berasaskan pertanian
sentiasa mendapat perhatian serta tunjuk ajar daripada pihak kerajaan. Kerajaan
sentiasa mendorong masyarakat terutamanya golongan muda dan remaja dan memberi
latihan kepada yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan berorientasikan
pertanian. Setiap tahun kerajaan menyalurkan peruntukan untuk membantu para
peniaga melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Bantuan peruntukan
yang disalurkan bertujuan agar pertanian yang dijalankan menggunakan teknologi
canggih sesuai dengan keadaan semasa dan membekalkan benih yang berkualiti
tinggi supaya hasil yang dapat dituai bermutu tinggi dan dapat dieksport.
Di bawah Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani tersebut, telah diwujudkan juga agensi yang
menjadi penggerak kepada usaha kerajaan untuk membantu para peniaga dan petani
yang menjalankan pertanian berasaskan pertanian. Antara agensi yang ditubuhkan
antaranya adalah Lembaga Pertubuhan Peladang dan juga Lembaga Pemasaran
Pertanian Persekutuan (FAMA). Agensi yang ditubuhkan ini bertujuan untuk
membantu para petani dan usahawan dan ini adalah salah satu inisiatif kerajaan
dalam memberi bantuan dan sokongan kepada perniagaan berasaskan pertanian ini.
Walaupun Lembaga Pertubuhan
Peladang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ditubuhkan di bawah
Kementerian Pertanian, tetapi mempunyai tujuan yang berlainan. Antara tujuan
dan objektif ditubuhkan Lembaga Pertubuhan Peladang adalah untuk memberi
khidmat nasihat serta menjadi agensi yang menguruskan penyaluran bantuan
daripada kerajaan kepada pengusaha pertanian. Selain daripada itu, agensi ini
juga bertanggungjawab untuk menganjurkan ekspo yang disertai oleh pengusaha
kecil untuk memasarkan produk mereka. Dengan cara ini sahaja memudahkan
pengusaha kecil untuk memasarkan produk mereka kepada pembeli mahupun kepada
pemborong tanpa melalui orang tengah.
Bagi Lembaga Pemasaran
Pertanian Persekutuan (FAMA) pula, fungsi penubuhannya adalah sama iaitu
menganjurkan ekspo dan pameran kepada pengusaha kecil dan sederhana tetapi ia
melibatkan skop yang lebih besar. Selain daripada itu juga, FAMA juga
mewujudkan pusat pengumpulan dan pusat pengedaran di mana pengusaha kecil boleh
memusatkan segala hasil dan seterusnya dapat diedarkan ke pasar tani dan
pasaraya yang bekerjasama dengan FAMA. Selain daripada pusat pengumpulan dan
pengedaran, FAMA telah mewujudkan pasar tani mega dan gerai buah – buahan segar
(GBBS) dimana pengusaha dapat memasarkan produk mereka terus kepada pembeli. Dengan
adanya GBBS, para petani bukan sahaja sekadar bertani malah dalam masa yang
sama menjadikan mereka usahawan yang mahir dalam selok belok perniagaan.
FAMA juga berjaya membantu
pengusaha memasarkan hasil keluaran mereka menggunakan platform Pusat Transformasi
Luar Bandar (RTC). Platform ini digunakan kerana RTC adalah sebuah pusat yang
dibina berhampiran dengan kawasan kampung. Dengan wujudnya RTC, penduduk
kampung tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk menghantar produk ke
bandar kerana RTC adalah salah satu tumpuan penduduk bandar dan luar bandar
membeli belah. Semua yang diwujudkan ini adalah inisiatif kerajaan untuk
membantu pengusaha dan petani dalam menaikkan taraf hidup seterusnya
menambahkan pendapatan mereka. Ini juga pada masa yang sama dapat membantu para
usahawan untuk makin berjaya seterusnya mampu untuk berdikari dan belajar
tentang selok belok perniagaan.
vi.
KESIMPULAN
Sememangnya perniagaan
berasaskan pertanian yang terdapat di Malaysia mampu mendatangkan keuntungan
yang lumayan jika diusahakan dengan bersungguh – sungguh. Bukan sahaja kita
dapat menggunakan segala sumber asli di Malaysia dengan sepenuhnya bahkan
dengan bantuan yang diterima daripada kerajaan, pengusaha pertanian mampu
menjadi usahawan yang berjaya.
Generasi muda seharusnya
menggunakan peluang yang sudah tersedia dengan sepenuhnya. Dengan keadaan
ekonomi yang tidak menentu ditambah pula dengan lambakan graduan yang
mengganggur, perniagaan berasaskan pertanian ini merupakan peluang yang harus
diambil oleh golongan muda.
vii.
RUJUKAN
(Online). http://ibasstop.blogspot.my/2014/02/pertanian-adalah
perniagaan.html [2016, November 23]
(Online). http://meisterfiq.blogspot.my/2013/04/kepentingan-sektor-pertanian.html
[2016,
November 23]
(Online). https://en.wikipedia.org/wiki/Agribusiness [2016, November 23]
(Online). http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.my/2011/02/potensi-dan-cabaran-industri-pertanian.html [2016, November 23]